PERBINCANGAN MENGENAI SAMBUTAN HARI IBU
Apabila kita membicarakan tentang sambutan atau
perayaan maka akan timbul beberapa perkara yang perlu kita ambil berat dan
titik beratkan, tujuannya adalah untuk memastikan perkara tersebut menepati
segala tuntutan yang telah ditetapkan oleh syara'.
Setiap sambutan atau perayaan matlamatnya adalah
untuk melahirkan rasa kegembiraan disebabkan sesuatu peristiwa atau kerana
seseorang individu. Maka tidak menjadi perbahasan dari sudut kebenaran untuk
melaksanakannya jika ia adalah satu syariat yang jelas diturunkan oleh Allah
SWT sebagai satu perintah agar manusia melaksanakannya seperti sambutan Hari Raya
dan sebagainya. Namun disana ada juga beberapa sambutan yang disambut pada masa
kini,dan ia tidak disebut secara jelas di dalam Al-quran ataupun hadis-hadis Nabi
SAW serta tidak berlaku di zaman baginda SAW. Antaranya ialah sambutan HARI IBU
yang telah menjadi amalan tradisi masyarakat dunia hari ini menyambutnya dengan
pelbagai cara dan bentuk.
Untuk menghasilkan satu perbahasan yang matang,
maka perlu mengkaji beberapa perkara yang menjadi faktor penting berkaitan
dengan sambutan tersebut, antaranya tarikh, peristiwa dan juga individu yang
menyebabkan wujudnya sambutan Hari Ibu tersebut.
Tarikh
Tarikh sambutan Hari Ibu di setiap negara adalah
berlainan mengikut tahun kerana ia akan berubah mengikut hari yang kebiasaan
digunakan untuk menyambutnya iaitu hari 'ahad' sepanjang bulan Mei. Di
Malaysia, sambutan Hari Ibu disambut pada hari Ahad dalam minggu ke-2 dalam
bulan Mei. Namun ada juga bebarapa negara yang tidak menyambutnya di dalam
bulan Mei tetapi di dalam bulan-bulan yang lain seperti Mac, Ogos dan Disember.
Maka perkaitan ini dapat dilihat pada hukum yang telah termaktub di dalam
kitab-kitab Fiqh Syafie berkenaan puasa sunat pada hari hari Sabtu atau Ahad.
Para ulama' As-Syafieyyah telah menetapkan hukum makruh jika 'menunggalkan'
puasa sunat pada hari tersebut dan mengkhususkan hari-hari tertentu kecuali
puasa yang telah disyariatkan samada fardhu atau sunat. Rasulullah SAW pernah
bersabda dalam sebuah hadis, yang diriwayatkan oleh Imam At-Tarmizi dan
Al-Hakim :
لا تَصُومُوا ىَوْمَ السَبْت إلاَّ فيما افْتُرِضُ
عليكم
Maksudnya: jangan kamu berpuasa pada hari Sabtu
melainkan pada puasa yang telah difardhukan keatas kamu.
Ulama' menghukumnya makruh kerana Yahudi
membesarkan hari Sabtu dan Nasrani membesarkan hari Ahad. Maka terkeluarlah
maksud 'tunggal' jika menggabungkan keduanya iaitu berpuasa pada hari Sabtu dan
Ahad sekali atau sabtu digabungkan dengan hari sebelumnya iaitu Jumaat.
Bersumberkan kepada sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam
An-Nasai RH:
إنَّهُما يوما عِيدُ للمشركين وَأُحِبَّ أن أُخالِفُهم
Maksudnya: sesungguhnya dua hari itu (sabtu dan
ahad) perayaan bagi orang musyrik dan aku lebih suka bahawa aku menyalahi akan
mereka.
Maka berdasarkan kepada sambutan Hari Ibu ini, secara
jelasnya ia terdapat tuntutan yang disyariatkan di dalam Islam iaitu memuliakan
ibu serta berbuat baik kepadanya. Namun begitu, jika hanya ia membawa kepada
mengkhususkan hari tersebut sahaja dalam memuliakan ibu, tanpa hari-hari yang
lain, maka ia adalah makruh. Hal ini demikian kerana mengkhususkan sesuatu
ibadah sedangkan memuliakan ibu adalah setiap masa tanpa ada waktu yang
dikhususkan.
Peristiwa
Terdapat banyak catatan berkaitan dengan kewujudan
sambutan Hari Ibu ini, sama ada ia merupakan satu upacara keagamaan atau hanya
satu amalan tradisi sebuah masyarakat untuk menunjukkan kasih sayang kepada ibu-ibu
mereka.
Bahkan sambutan yang dilakukan oleh setiap negara
juga, asal usul tujuannya adalah berbeza mengikut kepercayaan sesuatu tempat
tersebut.
Antaranya ialah adat pemujaan ibu di Yunani Purba, yang menyambut satu perayaan untuk Cybele, ibu dewa-dewi Yunani yang agung.
Perayaan ini diadakan sekitar equinoks
musim bunga di Asia
Kecil dan tidak lama kemudian di Rom dari 15 hingga 18 Mac.
Orang Rom Purba juga
menyambut sebuah perayaan bernama Matronalia yang memperingati dewi Juno, dan ibu lazimnya diberi hadiah pada
hari ini.
Namun begitu, realiti semasa ialah sambutan Hari
Ibu di pelbagai negara adalah mengikut kepada kepercayaan sesuatu tempat
tersebut samada ia memasukkan unsur kepercayaan atau sekadar menghidupkan satu
tarikh bagi mengenang jasa ibu.
Maka apa sekiranya sambutan yang dilakukan adalah
terikat atau terikut dengan unsur kepercayaan orang kafir iaitu istilah ‘ibu’
tersebut merujuk kepada sesuatu yang diperbesarkan atau dipersembahkan maka
hukumnya jelas adalah haram bahkan membawa kepada kufur.
Ibnu Umar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda :
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُم
“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum tersebut maka
dia adalah daripada kalangan mereka.” - diriwayatkan oleh Imam Abu Daud R.H dalam sunannya, Imam Ahmad
Bin Hanbal di dalam musnadnya Dan Imam as-Suyuti di dalam al-Jamie’ as-Shaghir
Ulama menyebutkan bahawa larangan dalam menyerupai
orang kafir adalah dari konteks kepercayaan dan keagamaan. Maka sekiranya ia
bukan dari sudut keagamaan atau kepercayaan, hanya sekadar urusan dunia semata
maka ia tidaklah termasuk dalam hadis di atas. Sebagaimana pemakaian kot,
walaupun ia dipopularkan oleh orang barat namun pemakaian tersebut tidak
melibatkan kepercayaan atau keagamaan berbeza dengan pemakaian yang khusus bagi
sesebuah sambutan keagamaan.
Justeru, dalam sambutan Hari Ibu adalah merujuk kepada
niat sambutan yang dilakukan. Sekiranya sambutan yang dilakukan adalah bagi
meraikan ibu tanpa mempunyai makna di sebalik ‘ibu’ tersebut ia sememang suatu
kemestian. Bahkan Islam sendiri telah meletakkan nilai yang mulia kepada wanita
yang bernama ibu.
Apa yang pastinya ialah sambutan Hari Ibu pada hari ini ialah satu sambutan yang telah dipopularkan oleh barat kepada dunia untuk diamalkan pada hari-hari dan tarikh-tarikh yang tertentu, tanpa wujud sebarang nilai-nilai keagamaan sesebuah agama.
Dr.
Yusuf al-Qaradhawi pernah berkata:
“Hari ibu ini timbul kerana pihak
orentalis/doktrin barat memikirkan bahawa inilah cara yang terbaik untuk mereka
menarik minat anak-anak remaja barat agar menghormati orang tua mereka. Umumnya
kita tahu bahawa masyarakat barat amat tipis dengan adab tatasusila, jadi
dengan mengadakan/mengkhususkan hari-hari tertentu sekaligus dapat memupuk
remaja mereka agar menyayangi dan menghormati orang tua mereka.”
Oleh yang demikian, nilaian syara' terhadap
perkara ini adalah satu perkara yang membawa nilai-nilai yang baik iaitu
mengasihi ibu dan mengeratkan ikatan di antara ibu dan anak. Ia adalah
sebahagian dari cara untuk menzahirkan kemuliaan kepada ibu dengan mengadakan
sambutan kepadanya, menghargai kebaikannya dan berbuat baik kepadanya. Tiada
sebarang dalil syara' yang menghalang anak dari menghargai dan berbuat baik kepada
ibunya selagi mana masih di dalam had batasan yang dibenarkan didalam Islam,
dan perayaan atau sambutan ia tidak termasuk didalam perkara yang bid'ah kerana
sabda Nabi SAW :
مَن أَحْدَثَ في أَمْرِنا هذا ما لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ
رَدٌّ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mereka-reka satu
urusan agama, ia tidak daripadanya maka ia tertolak” - (hadis riwayat Imam Bukhari,
Muslim dan Imam Ahmad didalam musnadnya)
Difahami daripada hadis ini jika ia daripada
urusan agama maka ia diterima. Sesungguhnya sambutan bagi sesuatu perkara
adalah satu yang dibenarkan oleh Nabi SAW. Iaitu dengan bergembira dan menunjukkan
rasa gembira kepada orang lain.
Dan penjelasan berkenaan bid’ah, boleh rujuk
kepada artikel yang lepas
Sebagaimana juga sambutan Hari Ibu, walaupun ia
tidak pernah wujud di zaman baginda SAW kerana memuliakan ibu merupakan satu
kewajipan yang mesti, namun mewujudkan satu tarikh sebagai tanda kebesaran atau
menghormati wanita yang bernama ibu bukanlah dikira sebagai bid’ah yang
tercela.
Imam Abu Hamid Al-Ghazali menyebut :
“Tidaklah kami katakan bahawa makan dengan
menggunakan mangkuk pinggan (peralatan makan pada hari ini) merupakan perkara
yang dilarang samada makruh atau haram. Sedangkan tidak terdapat larangan yang
jelas. Walaupun menggunakan perlatan (yang terdapat pada hari ini) tersebut
merupakan bid’ah (iaitu tidak pernah wujud dan dilakukan di zaman baginda SAW)
selepas zaman Nabi SAW. Maka bukanlah semua bid’ah adalah dilarang. Bid’ah yang
terlarang adalah yang menyalahi dengan sunnah dan bertentangan dengan suruhan
syara’ ” - kitab Laisa Min Al-Islam di mukasurat 121, karangan Syeikh Muhamad Al-Ghazali, cetakan ke-6 tahun 1991, Maktabah Wahbah
Justeru, memuliakan ibu merupakan suruhan syara’.
Mewujudkan satu tarikh yang khusus dalam mengenang jasa ibu merupakan satu
inisiatif dalam menyeru manusia terutama golongan remaja yang semakin melupai
jasa ibu adalah perkara yang baik di samping memperingatkan bahawa ibu mesti
disantuni pada setiap perkara. Mengkhususkan satu hari semata-mata dalam
memperingati jasa ibu dengan menafikan hari yang lain adalah makruh. Yang
dilarang apabila ia melibatkan unsur kepercayaan yang bertentangan dengan Islam
serta cata sambutan jika ia mengandungi unsur-unsur yang haram.
Individu
Hari Ibu adalah sambutan yang bertujuan untuk
memuliakan individu yang dipanggil 'ibu'. Para ulama’ telah memberikan maksud
ibu ini dengan makna yang sangat baik dan mempunyai nilai yang tinggi untuk
dihargai oleh setiap individu yang
bergelar 'anak', kerana ia adalah kemuliaan khusus yang telah dikurniakan oleh
Allah SWT kepada manusia yang bernama 'ibu' selain kemuliaannya sebagai manusia
sebaik-baik ciptaan Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Surah Luqman ayat 14
وَوَصَّيْنا الإنسانَ بِوالِدَيْه حَمَلَتْهُ أُمُّهُ
وَهْنًا على وَهْنٍ وَفِصالُه في عامَيْن أَنِ اشْكُرْلي وَلِوَالِدَيْك إِلَيِّ
المَصِير
Maksud: Dan kami perintahkan kepada manusia
(agar berbuat baik) kepada kedua ibubapanya. Ibunya telah mengandungnya dalam
keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyusunya dalam tempoh dua tahun,
bersyukurlah kepadaku dan kepada dua ibubapamu, hanya kepada aku kamu kembali
Syara' telah mengakui bahawa hubungan di antara
anak dan ibu adalah seperti hubungan anggota semulajadi. Maka tidak akan
terputus hubungan antara anak dan ibu selamanya samaada wujudnya kedunia ini melalui perkahwinan
ataupun perzinaan, bahkan dikira disisi syara' sebagai ibu dan anak pada setiap
keadaan. Berbeza dengan ayah yang hanya di'iktiraf oleh syara' sebagai ayah
jika melalui proses yang telah ditetapkan oleh syara' iaitu dengan perkahwinan
yang sah.
Dan Allah SWT telah menjadikan suruhan agar
melakukan kebaikan kepada 'ibu dan bapa' selepas suruhan agar beribadat
kepadanya seperti Firman Allah SWT dalam surah Al-Isra' ayat 23 dan 24:
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak
menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik
kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali,
sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau
berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan
janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka
perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri
kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk
mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua
sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku
semasa kecil.”
Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang
diriwayatkan oleh sayyidina Mu'awiyah bin Haidah, dia telah bertanya kepada
Rasulullah SAW dengan katanya:
Maksudnya: “Aku bertanya ya Rasulallah kepada siapa
aku perlu berbuat baik? sabda Rasulullah SAW ibumu, aku bertanya lagi kepada
siapa aku perlu berbuat baik? Sabda Rasulullah SAW ibumu, aku bertanya lagi
kepada siapa aku perlu berbuat baik? Rasulullah SAW bersabda ibumu, aku
bertanya lagi kepada siapa aku perlu berbuat baik? Rasulullah SAW bersabda
bapamu kemudian kerabatmu”
Abu Hurairah berkata seorang lelaki bertemu dengan
baginda SAW lalu bertanya :
“Siapakah manusia yang perlu aku berbuat baik? Lalu
baginda menjawab : Ibumu. Lelaki tersebut bertanya lagi dan jawapan yang sama
diberikan oleh baginda SAW sehingga 3 kali. Kemudian apabila ditanya pada kali
yang keempat lalu baginda SAW menjawab : Bapamu”
– Bukhari, Muslim dan Ahmad
Disebut oleh Imam As-Suyuti RH didahulukan kalimah
ibu dalam keadaan jama' (tiga kali berturut-turut) pada melakukan perkara baik atas
bapa adalah disebabkan, pada ibu ada tiga contoh kebaikan yang tiada pada ayah,
salah satunya kerana ibu menanggung kesusahan ketika mengandung dan beranak
yang hampir membawa kepada kematian, dan tidak akan kurang apa yang ia rasai
setiap kali ia melahirkan anak, kemudian cabaran semasa menyusu sehingga anak
itu besar dan tidak berhajat lagi kepada khidmat menyusunya, maka dalam perkara
ini berseorangan ibu dalam menghadapi kesusahannya kemudian barulah bapa
bersama-sama dalam urusan memberi nafkah, mendidik dan sebagainya.
Kesimpulan
1) Menghormati ibu dan menyantuni mereka merupakan
satu kewajipan di dalam Islam. Bahkan keutamaan ibu adalah jelas daripada
segala-gala bahkan bapa berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Mu’awiyah dan
Abu Hurairah.
2) Mewujudkan satu hari sebagai inisiatif dalam
menyeru ke arah kebaikan merupakan usaha yang baik. Sebagaimana sambutan Hari
Ibu pada hari ini adalah bagi memperingatkan golongan remaja mengenai besarnya
jasa wanita yang bergelar ibu kerana golongan remaja pada hari ini kurang
memberikan perhatian terhadap perkara ini. Jika ia dianggap bid’ah maka ia
bukanlah merupakan bid’ah yang terlarang sebagaimana faedah yang boleh kita
ambil daripada kata-kata Syeikh Abu Hamid Al-Ghazali.
3) Justeru, sambutan Hari Ibu merupakan perkara
yang baik kerana ia menyeru manusia mengingati jasa ibu. Tidak salah menjadikan
satu tarikh bagi menunjukkan penghormatan ke atas sesuatu peristiwa atau individu.
Dalam masa yang sama, makruh jika hanya mengkhususkan mengenang jasa ibu pada
hari tertentu sahaja dengan menafikan hari-hari yang lain.
4) Larangan atau haram menyambut Hari Ibu jika ia
melibatkan kepercayaan dan unsur keagamaan. Maksudnya jika istilah ‘ibu’ tersebut yang mempunyai istilah
yang lain seperti ketuhanan dan sebagainya yang merosakkan akidah. Begitu juga
larangan menyambut Hari Ibu jika sambutan tersebut mengandungi unsur-unsur
haram seperti pergaulan bebas, minum arak dan sebagainya.
5) Menyerupai sesuatu kaum iaitu orang kafir yang
diharamkan adalah merujuk kepada menyerupai keagamaan dan kepercayaan. Adapun
dalam urusan kebiasaan dunia maka ia tidak menjadi masalah kerana ia merupakan
dalam konteks nilai asas kemanusiaan tanpa melibatkan ibadah, agama dan
kepercayaan.
Wallahu a’lam
No comments:
Post a Comment