Adab Menyambut Hari Raya Aidil Fitri
Sebagai
hadiah kemenangan orang-orang Islam dalam perjuangan mengengkang hawa
nafsu di bulan Ramadhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala membalasnya dengan
satu hari yang dinamakan ‘Idulfitri atau Hari Raya Fitrah, di mana Allah
Subhanahu wa Ta‘ala menghalalkan mereka berbuka puasa dan mengharamkan
berpuasa pada hari tersebut.
Dalam
keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar ianya disambut
mengikut lunas- lunas yang digariskan oleh Syara‘ dan tidak
dicampurbaurkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau yang
diharamkan. Hari Raya memang tidak boleh disamakan dengan sambutan
perayaan- perayaan yang lain, kerana ianya merupakan kurniaan Allah
Subhanahu wa Ta‘ala khusus kepada hamba- hamba yang beribadat dan
berjuang melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadhan.
Banyak
fadilat atau kelebihan yang terdapat pada malam Hari Raya. Oleh sebab
itu, di antara adab-adab dan perkara-perkara sunat yang telah digariskan
oleh Syara‘ untuk kita melakukannya ialah menghidupkan malam Hari Raya
itu dengan melakukan amal-amal ibadat seperti mendirikan sembahyang
fardhu secara berjemaah, melakukan sembahyang sunat, bertakbir,
memanjatkan doa ke hadrat Ilahi dan melakukan apa- apa jua bentuk
perkara yang berkebajikan.
Al-Imam
Al-Syafie Rahimahullahu Ta‘ala telah menegaskan bahawa malam Hari Raya
itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa,
sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm: "Telah sampai
kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh
mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari
Raya Fitrah, awal malam Rajab dan malam Nisfu Sya‘ban.
Perlu
diingat juga, kelebihan menghidupkan malam Hari Raya itu tidak akan
diperolehi melainkan dengan mengisi dan menghidupkan sebahagian besar
malam tersebut, sebagaimana mengikut pendapat yang shahih.
Kemeriahan
Hari Raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Namun begitu,
tidak bermakna takbir itu semata-mata untuk memeriahkan suasana tetapi
lebih dari itu, ianya lebih bersifat untuk melahirkan rasa kesyukuran
dan mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Allah memerintahkan kepada
kita mengakui akan kebesaran dan keagunganNya dengan mengucapkan takbir.
Ucapan
takbir pada malam Hari Raya itu merupakan ibadah yang kita lakukan
untuk melepaskan Ramadhan dan untuk menyambut kedatangan ‘Idulfitri.
Oleh sebab itu, disunatkan kepada kita mengucapkan takbir dengan
mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari
Raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang Hari Raya.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya:
"Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu
mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu
bersyukur."
(Surah Al-Baqarah : 185)
Di
pagi Hari Raya pula disunatkan mandi kerana Hari Raya sebagaimana yang
diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas dan Al-Fakih bin Sa‘d Radhiallahu ‘anhum
bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan mandi pada Hari
Raya Fitrah dan Hari Raya Adha. Hadis ini dikeluarkan oleh Ibnu Majah.
Di
samping itu disunatkan juga memakai pakaian yang sebagus-bagusnya,
memakai harum-haruman dan menghilangkan segala bau-bau yang tidak elok.
Tidak kira sama ada orang itu hendak keluar pergi ke masjid untuk
menunaikan sembahyang Hari Raya ataupun duduk sahaja di rumah, kerana
hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok.
Diriwayatkan daripada Ja‘far bin Muhammad daripada bapanya daripada
datuknya:
Maksudnya:
"Bahawasanya Shallallahu ‘alaihi wasallam memakai kain yang
bergaris-garis (untuk diperselimutkan pada badan) pada setiap kali Hari
Raya."
(Hadis riwayat Al-Syafi‘e dan Al-Baghawi)
Sebelum
keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya
Fitrah disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa
yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana
yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya:
"Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak keluar pada waktu pagi Hari
Raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar
dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil."
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)
Selain
itu, Hari Raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan, maka sebab
itu disunatkan bagi sesama muslim saling mengucapkan tahniah antara satu
sama lain dengan mengucapkan: Taqaballahuminna wa minkum
Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimaNya daripada awak."
Daripada
Jubair bin Nufair, di mana beliau merupakan salah seorang Tabi‘en
(orang-orang yang datang setelah Sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi
wasallam) telah berkata (maksudnya): "Sahabat- sahabat Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila mereka berjumpa di Hari Raya,
setengahnya mengucapkan kepada setengah yang lain:
Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kami dan menerimaNya daripada awak."
Menurut
pandangan jumhur ulama bahawa mengucapkan tahniah di Hari Raya
merupakan sesuatu perkara yang disyari‘atkan di dalam Islam.
Al-Imam
Al-Qalyubi menaqalkan daripada Al-Imam Ibnu Hajar bahawa memberi atau
mengucapkan tahniah pada hari-hari raya, bulan-bulan dan tahun- tahun
(kerana ketibaannya) merupakan perkara yang disunatkan. Al-Imam
Al-Baijuri mengatakan: Inilah yang yang dii‘timadkan.(Al-Mausu‘ah
Al-Fiqhiyyah, Juz 14, m.s. 100)
Manakala
itu pula, amalan saling ziarah menziarahi rumah terutama sekali saudara
mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa
diamalkan ketika menyambut Hari Raya. Amalan ini juga sebenarnya
termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam.
Dalil yang menunjukkan pensyariatannya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha, beliau berkata:
Maksudnya:
"Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam masuk kepadaku, dan di sisiku
ada dua orang anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu‘ats. Lalu
Baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya, dan kemudian
Abu Bakar masuk, lalu mengherdikku dengan berkata: "Seruling syaitan di
sisi (di tempat) Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam!" Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam menghadap kepada Abu Bakar lalu berkata:
"Biarkan mereka berdua itu." Melalui riwayat Hisyam Baginda menambah:
"Wahai Abu Bakar, masing-masing kaum ada hari rayanya, dan hari ini
adalah Hari Raya kita."
(Hadits riwayat Al-Bukhari)
Al-Hafizh
Ibnu Hajar Al-‘Asqalani menerangkan di dalam kitabnya Fath Al-Baari
bahawa kedatangan atau masuknya Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu ke dalam
rumah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menunjukkan seolah-olah
Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu datang sebagai pengunjung atau penziarah
selepas masuknya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ke dalam rumah
Baginda.
(Al-Fath Al-Baari, Juz 3, m.s. 116 & Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyyah, Juz 31, m.s. 117)
Sehubungan
dengan perkara ziarah menziarahi ini, adalah ditekankan kepada orang
yang pergi berziarah supaya sentiasa komited terhadap etika ziarah yang
ditetapkan oleh Islam. Umpamanya hendaklah meminta izin atau memberi
salam sebelum masuk, tidak menghadapkan muka langsung ke arah pintu,
menjaga adab kesopanan ketika berada di dalam rumah orang yang
diziarahi, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah dan sebagainya.
Apa yang di harapkan daripada sambutan Hari Raya sebenarnya bukannya semata-mata kegembiraan atau keseronokan tetapi yang lebih penting dan lebih utama lagi ialah mendapatkan keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Semoga kita semuanya mendapat keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana menghidupkan, membesarkan dan mengagungkan Hari Raya Idulfitri.
No comments:
Post a Comment